Permulaan baru..

Hari ini saya buat blog baru. Saya bukan orang yang rajin menulis. Idea yang banyak kadang-kadang habis hilang seperti jerebu. 🙂 tak sempat nak salin, tak sempat nak grab kertas, dan sebagainya. Mungkin sebab saya tak ada skill dan disiplin seorang penulis.

Saya suka berangan untuk menulis. Kongsi apa yang bermanfaat. Kongsi resipi, tutorial, tips mengajar, DIY, dan sebagainya. Tapi selama berbelas tahun meninggalkan kerjaya, saya masih gagal untuk duduk dan menulis. Mungkin dan harap-harap ini adalah masanya untuk melakukan sedikit perubahan. Ramai sebenarnya sahabat di alam maya yang memberi tips dan menggalakkan saya dan anda semua menulis. Yang paling memberi kesan kepada saya adalah tulisan Muharikah. Seorang doktor dan pendakwah. Beliau menulis untuk menyampaikan mesej. Mesej-mesej kebaikan, kebajikan dan kerohanian. Harap-harap, terealisasilah harapan untuk menyumbang sesuatu kebaikan melalui media blogspot sekurang-kurangnya seperti beliau.

Suatu ketika dulu, saya mengurus sebuah blog sendiri. Blog berkenaan lampin pakai buang dan yang seangkatan dengannya. Hari ini, bila periksa semula jumlah pengunjung blog tersebut, ada lebih dari 11,000 pengunjung. Hmm.. Tak sangka jugak. Langsung terlintas dalam fikiran, “Apa yang membuatkan saya berhenti?” Banyak sebab sebenarnya bila diperah-perah.. Ada masa nanti saya senaraikan mana yang mampu, buat muhasabah diri saya sendiri.

Sebagai penutup, saya nak kongsi sebaris peringatan yang disampaikan oleh Ustaz Yahya Ibrahim dalam syarahnya ‘Principles of Achieving Excellence’ di link ini. “Forget the past, Ignore the Future.” (Lupakan masa silammu, abaikan masa depanmu.) Jangan sampai masa silam dan masa depan membuatkan kita gagal menjadikan diri kita insan yang mentaati Allah. Jangan sampai masa silam dan masa depan kita menjadikan kita orang yang gagal untuk fokus akan tujuan kita hidup di dunia. Sangat dalam untuk kita renungkan. Jauh perjalanan untuk saya membina disiplin baru. Namun tidak mustahil untuk kita melakukannya dengan doa dan yakin. Semoga malam ini kita dikurniakan ilham untuk menjadikan diri kita lebih baik dari siang yang telah kita lalui tadi. Semoga esok kita dapat merealisasikan ilham itu..